Thursday, August 6, 2026

Melancong ke Yunnan: Lijiang to Shangri La (Tiger Leaping Gorge)-(Part 10)

 17 September 2025 (Rabu)

Hari baru lokasi baru. Hari ni tiba masanya utuk kami meneruskan perjalanan menuju ke Shangri La. Shangri-La terletak kira-kira 180 kilometer di barat laut Lijiang. Perjalanan menuju ke bandar tanah tinggi ini bukan sekadar perjalanan dari satu destinasi ke destinasi yang lain, malah merupakan satu pengalaman menyusuri perubahan landskap dan budaya. Sedikit demi sedikit, suasana bandar Lijiang ditinggalkan, digantikan dengan banjaran gunung yang semakin tinggi, lembah yang luas serta perkampungan berunsurkan budaya Tibet. Semakin menghampiri Shangri-La, udara terasa semakin dingin dan nyaman, seolah-olah kami sedang memasuki dunia yang berbeza daripada destinasi-destinasi sebelumnya. Aku ingatkan kami ke Shangri La akan naik train atau bas, rupanya trip kami bersama Ah Meng sampai ke Shangri La. 

Selepas hampir sejam meninggalkan Lijiang, bas kami berhenti di sebuah restoran berhampiran Platform Pemerhatian Selekoh Pertama Sungai Yangtze (First Bend of the Yangtze River) untuk menikmati sarapan pagi. Oleh kerana restoran ni non-halal maka kami hanya bersantai menikmati pemandangan sungai, di sekitar restoran, sementara menunggu Ah Meng menyelesaikan makan pagi nya. Kami menuju ke platform pemerhatian. Dari atas, terbentang panorama Sungai Jinsha yang membelok hampir 180 darjah mengelilingi banjaran gunung. Sungai Yangtze ialah sungai terpanjang di Asia. Di kawasan ini, bahagian hulunya yang dikenali sebagai Sungai Jinsha mengalir dari arah utara. Pemandangan itu benar-benar mengagumkan. Angin gunung yang sejuk meniup deretan bendera doa Tibet yang berkibar tanpa henti, seolah-olah mengalu-alukan setiap pengunjung yang singgah. Kami tidak melepaskan peluang merakam gambar kenangan sambil mengagumi kehebatan alam ciptaan Tuhan. Inilah antara hentian yang membuatkan perjalanan dari Lijiang ke Shangri-La terasa begitu bermakna, walaupun hanya seketika.Oleh kerana cuaca kurang baik, agak sendu, aku tak ambil gambar sungai. Sayang juga kan.
Restoran. Kat sini ada jual herba dan teh juga.
Tapi kita tak beli la
Ehsan Goggle
TIGER LEAPING GORGE

Pernah tak korang berdiri kat satu tempat yang membuatkan korang terus senyap sunyi. Terus terdiam? Bukan sebab tak tahu nak cakap apa, tapi sebab terlalu kagum dengan apa yang ada kat depan mata ni haa. Itulah yang aku rasakan apabila tiba di Tiger Leaping Gorge atau Ngarai Harimau Melompat di wilayah Yunnan, China. Tiger Leaping berjarak 54.4 km dari First Bend of the Yangtze River. Sejujurnya, sebelum datang ke sini aku hanya melihat gambar-gambarnya di internet. Dalam hati aku tertanya-tanya, "Betul ke tempat ini secantik yang orang selalu kongsikan?" Tapi sebaik sahaja bas mula menghampiri kawasan ngarai ini, aku terus faham kenapa Tiger Leaping Gorge sering menjadi sebutan pelancong dari seluruh dunia. Gambar memang cantik, tetapi keindahan sebenar di depan mata jauh lebih luar biasa.
Tiger Leaping Gorge terletak di antara Jade Dragon Snow Mountain dan Haba Snow Mountain. Di bahagian bawahnya pula mengalir Sungai Jinsha yang deras, iaitu bahagian hulu Sungai Yangtze. Apa yang membuatkan aku benar-benar kagum ialah tebing-tebing batu yang berdiri begitu tinggi, seolah-olah membelah bumi menjadi dua. Dari atas, aku hanya mampu memandang ke bawah sambil mendengar bunyi deruan air sungai yang bergema di seluruh lembah. Serius, bunyinya cukup kuat sehingga membuatkan kita terasa betapa hebatnya kuasa alam. Korang tau macamana tempat ini mendapat namanya? Menurut legenda masyarakat tempatan, suatu ketika dahulu seekor harimau yang sedang diburu berjaya menyelamatkan dirinya dengan melompat dari satu tebing ke tebing yang lain menggunakan seketul batu besar di tengah sungai. Batu itu masih ada sehingga hari ini dan dikenali sebagai Tiger Leaping Stone. Betul atau tidak kisah ini, aku sendiri tak pasti. Namun, legenda seperti inilah yang menjadikan sesuatu tempat itu lebih menarik untuk dikenang.
Ketika berdiri di kawasan tinjauan, aku cuba membayangkan betapa dalamnya ngarai ini. Bayangkan, kedalamannya mencecah hampir 3,790 meter dari puncak gunung hingga ke dasar sungai. Sukar untuk aku membayangkan bagaimana alam mampu membentuk pemandangan sehebat ini selama berjuta-juta tahun. Tidak hairanlah Tiger Leaping Gorge diiktiraf sebagai sebahagian daripada Tapak Warisan Dunia UNESCO. Alhamdulilla sangat, kita tak perlu turun tangga sampai ke bawah. Ada escalator disediakan. Kalo turun tangga, kau nak memikir lagi nak naik atas dengan naik tangga. Uhhh...satu perjuangan untuk itu beb...
cantikkan depa buat sesuatu kat escalator ni, kita tak bosan. ble tengok lampu2.
Kalau korang seorang yang gemar mendaki, aku rasa inilah tempat yang wajib ada dalam senarai. Di sini terdapat dua laluan utama iaitu High Trail dan Lower Trail. High Trail lebih popular kerana menawarkan panorama gunung dan ngarai dari kawasan yang tinggi, manakala Lower Trail pula membawa pengunjung lebih hampir dengan Sungai Jinsha. Kami sempat berjalan di beberapa bahagian laluan tersebut. Walaupun tidak mendaki sepenuhnya, pengalaman itu sudah cukup membuatkan aku tercungap-cungap sambil sesekali berhenti untuk mengambil gambar. Masakan tidak, setiap beberapa langkah pasti ada sahaja pemandangan yang membuatkan aku berkata, "Yang ini kena ambil gambar!" Selain gunung dan sungai, kawasan ini juga dipenuhi dengan pelbagai tumbuhan hijau yang tumbuh subur di lereng-lereng bukit. Katanya, kawasan ini menjadi habitat kepada burung helang, kambing gunung, monyet dan pelbagai spesies burung yang sukar ditemui di tempat lain. Walaupun kami tidak bernasib baik melihat semua haiwan tersebut, suasana alam yang masih terpelihara sudah cukup membuatkan perjalanan terasa begitu menyenangkan.
Nasib baik juga kami datang pada waktu cuaca yang baik. Langit membiru dan udara cukup nyaman. Dari beberapa lokasi, kami dapat melihat puncak Jade Dragon Snow Mountain yang diselaputi salji putih. Pemandangan itu benar-benar membuatkan aku terpaku. Aku hanya berdiri seketika, menarik nafas panjang dan menikmati keindahan alam tanpa tergesa-gesa. Kadang-kadang, momen yang paling bermakna semasa mengembara bukanlah ketika mengambil gambar, tetapi ketika kita berhenti seketika untuk benar-benar menghargai apa yang sedang kita lihat.
Sepanjang perjalanan pulang, aku asyik memikirkan satu perkara. Mengapa tempat seperti ini begitu istimewa? Bagi aku, jawapannya bukan sekadar kerana gunungnya tinggi atau sungainya deras. Tiger Leaping Gorge mengajar kita bahawa alam semula jadi mempunyai keindahan yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Kita boleh melihat ribuan gambar atau menonton berpuluh-puluh video, tetapi perasaan berdiri sendiri di hadapan ngarai yang begitu megah adalah sesuatu yang tidak boleh diterjemahkan melalui skrin. Kalau korang berpeluang melancong ke Yunnan suatu hari nanti, jangan lepaskan peluang singgah ke Tiger Leaping Gorge. Siapa tahu, mungkin korang juga akan mengalami saat yang sama seperti apa yang aku rasa - terdiam seketika, bukan kerana tiada kata-kata, tetapi kerana terlalu kagum dengan keindahan ciptaan Tuhan. Masya-Allah..
Masih jauh perjalanan nak sampai ke Shangri La. Kita sambung cite ke part seterusnya. 

Bersambung....

Thursday, July 9, 2026

Melancong ke Yunnan: Lijiang Old Town (Part 9)

16 September 2025
Masih hari yang sama. Selesai menonton persembahan Lijiang Impression, kami pulang ke hotel. Berehat sebentar dan kemudiannya menyusur Lijiang Old Town. Kawan aku nak sewa baju tradisi masyarakat Lijiang. Kami hanya berjalan kaki menuju ke bandar lama tersebut. Bila masuk je, rasa macam masuk satu tempat yang masanya bergerak agak perlahan. Bandar lama ini bukan sekadar kawasan pelancongan tetapi ia sebenarnya pusat sejarah dan budaya masyarakat Naxi (Nakhi) selama beratus tahun dahulu.
Sejarah Lijiang Old Town bermula sekitar lebih 800 tahun lalu, tepatnya di penghujung zaman Dinasti Song hingga awal Dinasti Yuan (lebih kurang abad ke-12 hingga ke-13). Kedudukannya sangat strategik kerana ia menjadi persimpangan perdagangan antara Yunnan, Sichuan dan Tibet. Salah satu laluan perdagangan paling terkenal yang melalui kawasan ini ialah Laluan Kuda dan Teh Purba (Ancient Tea Horse Road). Pedagang membawa teh dari Yunnan dan menukarnya dengan kuda serta barangan dari Tibet. Disebabkan itu, Lijiang berkembang menjadi bandar yang kaya dan terbuka kepada pelbagai budaya.
Penduduk asal kawasan ini terdiri daripada masyarakat Naxi yang terkenal dengan budaya uniknya. Mereka mempunyai tulisan Dongba, antara sistem tulisan bergambar yang masih digunakan. Seni bina rumah kayu mereka pula dipengaruhi oleh budaya Han, Tibet dan Bai tetapi masih mengekalkan identiti Naxi. Muzik tradisional mereka diwarisi sejak zaman perdagangan dahulu dan masih dipersembahkan sehingga kini. Lijiang mempunyai sesuatu yang Istimewa untuk dibanggakan iaitu sister airnya. Satu perkara yang membezakan Lijiang daripada bandar lama yang lain ialah sistem saliran air semula jadi. Air dari kawasan gunung salji di utara mengalir masuk ke bandar melalui rangkaian terusan kecil, lorong air dan jambatan batu. Sebab itu bila berjalan di sana, hampir setiap lorong ada bunyi air mengalir. Sistem ini masih berfungsi sehingga hari ini.
Kawan aku nak pakai baju tradisi. Cari punya cari, jumpa la kedai ni.
Sedang di makeup kan. Sebenarnya ada 5 org kawan aku yg sewa baju tradisi ni, yang lain tak jumpa gambar depa pakai baju tradisi ni.
Cantik baju dier...
Pada tahun 1996, satu gempa bumi besar melanda kawasan Lijiang dan menyebabkan berlakunya banyak kerosakan. Namun usaha pemulihan dan pemeliharaan dilakukan secara besar-besaran. Tidak lama selepas itu, pada tahun 1997, Lijiang Old Town diiktiraf sebagai Tapak Warisan DuniaUNESCOerana nilai sejarah, budaya dan reka bentuk bandarnya yang unik. Hari ini Lijiang ialah salah satu destinasi paling terkenal di Yunnan. Waktu malam, lorong batu, lampu merah dan aliran air menjadikan suasananya sangat romantik. Tetapi ada juga perbincangan bahawa sebahagian kawasan lama kini lebih komersial berbanding dahulu kerana pertumbuhan pelancongan.
serupa pasar malam, nampak sedap, tapi kita mampu tengok je la. 
Yang datang berkunjung ke Lijiang pasti tidak melepaskan peluang memakai pakaian tradisi Masyarakat Naxi (Nakhi), iaitu masyarakat asal yang mendiami Old Town of Lijiang. pakaian tradisi Masyarakat Naxi biasanya berwarna  biru tua, hitam atau putih.  Apron dan lapisan kain di bahagian belakang (untuk wanita) dihiasi dengan Sulaman halus.  Ada rekaan yang dipengaruhi oleh budaya Tibet dan Han.  Ada pakaian yang mempunyai simbol matahari, bulan dan bintang pada bahagian belakang (melambangkan hubungan dengan alam). Di kawasan bandar lama, memang ramai yang pakai pakaian tradisi untuk sekadar berjalan-jalan dan bergambar, sesi fotografi, persembahan budaya atau sewaan kostum pelancong.
Esok kami akan bergerak ke Shangri La pula. Jadi selesai aktiviti meronda bandar lama ni kami berjalan kaki balik ke hotel semula. 

Jumpa lagi pada part seterusnya...

Bye

Melancong Ke Yunnan: Napahai Lake & Padang Rumput Yila: Lebih Kepada Pengalaman, Bukan Pemandangan (Part 12)

17 september 2025 Selepas meninggalkan Tea Horse Guesthouse, perjalanan kami diteruskan menuju ke Shangri-La.  Perlahan-lahan, pemandangan d...