17 September 2025
Lepas selesai kami jalan-jalan di Tiger Leaping Gorge, Ah Meng bawa kami ke lokasi seterusnya. kami pun bergerak naik ke Tea Horse Guest House. Haa… yang ni memang boleh tahan tinggi tempatnya! 😂 Makin lama makin naik, sampai rasa macam dah jauh sangat meninggalkan kawasan bawah tadi. Jalan berliku2, kalo gayat, harus la tutup mata. Jaraknya hanya sekitar 4.5 km, kira2 11-13 minit menaiki kenderaan. Bila dah sampai, baru nampak kenapa ramai orang suka singgah dekat sini. Tea Horse Guest House atau 茶马客栈 (Chama Kezhan) sebenarnya ialah salah satu guesthouse yang terkenal dalam laluan pendakian Tiger Leaping Gorge. Ia terletak di kawasan pergunungan dan menjadi tempat persinggahan untuk orang yang buat trek Tiger Leaping Gorge. Laluan dari kawasan awal pendakian Tiger Leaping Gorge ke Tea Horse Guest House boleh mengambil masa beberapa jam bergantung pada laluan dan kelajuan berjalan.
Yang menariknya, Tea Horse bukanlah hotel mewah macam hotel di bandar, tetapi lebih kepada tempat persinggahan untuk orang yang datang hiking dan nak berehat selepas penat berjalan. Suasananya lebih kepada guesthouse gunung - bilik agak asas, ada restoran dan ruang santai, tetapi tarikan paling besar memang pemandangan gunung dan gaung di sekelilingnya. Ramai pengunjung memang memuji pemandangan dari teres, tapi yang paling best sebenarnya pemandangan dia tu haa. Dari kawasan guest house tu boleh nampak gunung-ganang dan gaung yang terbentang luas di depan mata. Bila berdiri dekat situ, memang rasa kita ni kecikkkk je. Gunung tinggi menjulang, awan pula macam dekat je dengan kepala.
![]() |
| Lepas parking, Ah Meng bawa kami jalan kaki turun ke bawah. Rupanya Tea Horse Guesthouse tu ada kat bawah |
Masa tu aku terfikir juga… macam mana orang boleh bina guest house kat tempat setinggi dan terpencil macam ni? 😆 Tapi dalam masa yang sama, memang teruja sebab pengalaman macam ni bukan selalu kita dapat. Lepas penat dari Tiger Leaping Gorge, dapat pula berehat di tempat tinggi macam ni sambil tengok pemandangan gunung. Memang satu pengalaman yang sampai sekarang masih teringat. Kenapa bila berada kat Tea Horse Guest house ni, kita rasa macam tinggi gills? Ini adalah disebabkan oleh laluan Tiger Leaping Gorge memang melalui kawasan pergunungan. Laluan trekking di kawasan ini berada kira-kira 1,600 hingga 2,650 meter dari aras laut, bergantung pada bahagian laluan. Beberapa laluan yang melalui Tea Horse pula mencapai sekitar 2,400 meter.
Wow.... Kau bayangkan… baru tadi kita berada di kawasan gaung dengan bunyi sungai Jinsha yang mengganas di bawah, kemudian naik semakin tinggi ke lereng gunung. Tiba-tiba sampai dekat guesthouse, tengok sekeliling — gunung depan mata, gaung jauh di bawah, awan pula macam dekat sangat. Memang boleh rasa macam kau terbuai2 je kat atas awan. Cewahh 😂 Ehh...korang tak rasa pelik ke dengan nama guest house ni? "TEA HORSE"- Teh kuda?? Ada ya teh kuda?? Aku pun mulanya pelik bin ajaib juga la, tapi bila aku cari info pasal ni, rupanya ia ada kaitan dengan sejarah Ancient Tea Horse Road, iaitu jaringan laluan perdagangan lama yang menghubungkan kawasan pengeluar teh di Yunnan dengan Tibet dan kawasan lain. Pada zaman dahulu, teh dan barangan lain dibawa merentasi kawasan pergunungan menggunakan kuda dan haiwan pengangkut.
![]() |
| ni cafe yang ada kat sini. Sebenarnya kita tak menginap di sini cuma singgah sekejap je |
Ohh....ngam la depa guna nama Tea Horse Guesthouse, memang sesuai dengan lokasinya. Ia bukan sekadar sebuah tempat penginapan, tetapi berada dalam suasana pergunungan yang mengingatkan kita kepada perjalanan para pedagang pada zaman dahulu. Jom kita telusuri cerita berkaitan Tea Horse Road ni. Pada mulanya kita mungkin fikir, ia mungkin kedengaran seperti sekadar laluan perdagangan teh dan kuda. Tetapi apabila kita mula menyelami sejarahnya, kita akan sedar bahawa jalan ini sebenarnya jauh lebih besar daripada tu. Ia pernah menjadi penghubung antara Yunnan, Tibet, Nepal dan India, dan selama ratusan tahun, manusia menggunakannya untuk membawa teh, kuda, garam, herba, kain, makanan dan pelbagai barangan lain merentasi gunung-gunung yang tinggi dan sukar.
Yang menariknya, sebahagian laluan lama ini masih boleh kita jejaki hingga kini! Cuba kita bayangkan, tutup mata tu. Hari ni, kalau kita nak pergi dari Lijiang ke Shangri-La, kita boleh naik kereta atau bas. Jalannya dah elok, perjalanan pun jauh lebih mudah. Tapi... beratus-ratus tahun dahulu, ceritanya sangat berbeza, korang.
Tak ada kereta.
Tak ada jalan raya.
Tak ada GPS.
Yang ada hanyalah jalan gunung, sungai yang deras, cerun yang curam dan cuaca yang boleh berubah pada bila-bila masa. Pedagang terpaksa berjalan kaki bersama kuda, baghal atau yak yang membawa barang dagangan. Dan antara barang yang paling penting itu ialah teh. Teh dari Yunnan dibawa jauh ke kawasan Tibet. Sebagai pertukaran, kuda dan pelbagai hasil dari kawasan Tibet dibawa kembali ke arah China. Sebab tulah laluan ini dikenali sebagai Tea Horse Road- Jalan Teh dan Kuda
Kenapa orang Tibet sangat memerlukan teh? Kenapa perlu bawa jauh2 dari Yunnan merentas gunung dan sungai untuk dihantar ke Tibet. Bagi kita, teh mungkin sekadar minuman. Pagi-pagi kita bancuh teh, petang minum lagi. Tetapi bagi masyarakat Tibet, teh mempunyai peranan yang jauh lebih penting dalam kehidupan seharian. Bayangkan kehidupan di kawasan dataran tinggi Tibet. Cuacanya sejuk, udara nipis dan tidak semua jenis tanaman boleh hidup dengan mudah. Makanan masyarakat Tibet pula banyak terdiri daripada bahan yang kaya dengan tenaga, termasuk daging, produk tenusu dan mentega yak. Maka Teh sangat sesuai dengan kehidupan seperti ini. Malah, teh di Tibet biasanya bukan sekadar teh yang dibancuh dan diminum begitu sahaja. Salah satu minuman yang terkenal ialah butter tea, iaitu teh yang dicampurkan dengan mentega yak dan garam.
Bunyinya macam pelikkan, bagi kita yang biasa minum teh tarik atau teh O.Tetapi dalam cuaca sejuk di kawasan Himalaya, minuman yang panas, masin dan berlemak itu sangat sesuai untuk memberikan tenaga dan membantu menghangatkan badan. Jadi tidak hairanlah permintaan terhadap teh dari Yunnan begitu tinggi. Tetapi kalau Tibet perlukan teh, apa pula yang China perlukan? Takkan nak balik dengan tangan kosong kan. Haaa....Jawapannya ialah kuda. Pada zaman dahulu, kuda mempunyai nilai yang sangat tinggi, terutama kepada kerajaan-kerajaan China. Kuda diperlukan untuk perjalanan, pengangkutan dan yang paling penting, untuk kegunaan ketenteraan. Kawasan Tibet dan dataran tinggi di sekitarnya mempunyai akses kepada kuda dan haiwan yang sesuai dengan keadaan pergunungan. Maka terjadilah satu bentuk perdagangan yang sangat menarik. China mempunyai teh. Tibet mempunyai kuda. Kedua-duanya saling memerlukan. Win2 situation kata org puteh...😀
![]() |
| antara guest house yang ada. Aku tengok orang yang pegi hiking tu, p turun ke bawah. Tak pasti nak p hiking atau nak p kat guest house kat bawah tu. |
Dari situlah berkembangnya perdagangan teh dan kuda yang menjadi semakin penting dari zaman ke zaman. Kalau kita lihat secara kasar, salah satu laluan dari Yunnan bergerak dari kawasan pengeluaran teh di selatan Yunnan menuju ke pusat-pusat perdagangan seperti Pu'er, kemudian ke Dali dan Lijiang. Dari Lijiang, perjalanan menjadi semakin mencabar. Pedagang perlu bergerak ke kawasan Tiger Leaping Gorge, kemudian menuju ke Zhongdian- yang kini lebih dikenali sebagai Shangri-La- sebelum meneruskan perjalanan ke Deqin dan masuk ke Tibet. Perjalanan ini bukan perjalanan sehari dua. Ia bergantung kepada laluan, musim dan keadaan. Boleh mengambil masa yang sangat lama. Setiap perjalanan memerlukan perancangan.
Di mana hendak berhenti?
Di mana ada air?
Di mana haiwan boleh berehat?
Di mana boleh mendapatkan makanan?
Bagaimana keadaan jalan di hadapan?
Semua perkara ini penting. Sebab itulah rumah-rumah persinggahan atau kèzhàn (客栈) memainkan peranan yang besar. Tea Horse Trade Guest House- bukan sekadar tempat tidur. Apabila kita mendengar perkataan "guest house", kita mungkin membayangkan tempat penginapan yang sederhana. Tetapi pada zaman dahulu, sebuah kèzhàn mempunyai fungsi yang lebih penting. Ia adalah tempat pedagang berhenti selepas seharian menempuh jalan gunung. Mereka boleh makan, berehat, tidur dan mendapatkan bekalan sebelum meneruskan perjalanan. Haiwan yang membawa barang juga perlu dijaga. Jadi bayangkan suasana sebuah kèzhàn pada zaman dahulu.
Kuda baru sampai selepas perjalanan yang panjang.
Pedagang menurunkan muatan.
Ada yang sedang menyediakan makanan.
Ada yang berbual tentang keadaan laluan di hadapan.
Ada yang mungkin sedang memeriksa barang dagangan mereka.
Apabila malam tiba, semuanya berehat.
Keesokan paginya, perjalanan diteruskan lagi.
Sebab itulah apabila kita melihat nama Tea Horse Trade Guest House di kawasan Tiger Leaping Gorge, nama itu sebenarnya membawa kita kembali kepada dunia perdagangan lama tersebut. Hari ini Tiger Leaping Gorge terkenal sebagai salah satu lokasi trekking yang cantik di Yunnan. Tetapi apabila kita berjalan di sini, cuba lihat tempat ni dengan perspektif orang zaman dahulu. Gunung yang kita kagumi sebagai pemandangan indah sebenarnya merupakan cabaran besar kepada mereka.
Sungai Jinsha mengalir jauh di bawah.
Gunung menjulang tinggi di sekeliling.
Laluan pula sempit dan berliku.
Bagi pelancong hari ini, perjalanan itu mungkin satu pengalaman trekking yang menyeronokkan. Tetapi bagi pedagang dahulu, ia adalah sebahagian daripada kehidupan dan pekerjaan mereka. Mereka bukan datang untuk mengambil gambar (seperti kita). Mereka datang untuk mencari rezeki dan mereka membawa barang yang sangat berat merentasi gunung.
Itulah cerita di sebalik Tea Horse Road.
Dan mungkin, selepas mengetahui kisah ini, apabila kita duduk minum secawan teh di Yunnan sambil memandang gunung, secawan teh itu akan terasa sedikit berbeza. Kerana di sebalik daun teh yang kecil itu, ada sejarah perjalanan manusia yang panjang- merentasi gunung, sungai dan sempadan, dari Yunnan menuju Tibet, kemudian jauh hingga ke Nepal dan India.
Bersambung....

.jpg)


.jpg)


.jpg)
.jpg)





.jpg)




.jpg)






No comments:
Post a Comment